BOT yang membawa pelancong kelihatan kurang mendapat sambutan selepas terminal feri antarabangsa Kukup lengang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BOT yang membawa pelancong kelihatan kurang mendapat sambutan selepas terminal feri antarabangsa Kukup lengang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik


Pontian: Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sentiasa bersiap siaga untuk memastikan Terminal Feri Antarabangsa Kukup beroperasi dengan lancar sekiranya sempadan antarabangsa dibuka semula.

Eksekutif Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Mohamad Shyamsul Faizi Abd Jalil berkata, PAJ sudah menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk meletakkan tanda penjarakan fizikal di bangunan terminal itu mahupun dalam feri.

"Kita masih belum mendapat maklumat sama ada kebenaran ini membabitkan konsep seperti Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

"Cuma kami dapat anggaran setiap trip akan membawa 100 penumpang untuk memastikan pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal di tempat duduk dalam feri.

"Namun, kita sudah membuat persiapan, malah ejen operator tiket kita pun sentiasa bersiap sedia menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk beroperasi semula," katanya.

Menurutnya, penutupan sempadan sepenuhnya mulai Mei 2020, menyaksikan ekonomi penduduk setempat yang bergantung kepada sektor pelancongan terjejas teruk.

"Kali terakhir feri membawa penumpang ke negara jiran pada 19 Mei 2020 sebelum sempadan antarabangsa ditutup sepenuhnya.

"Walaupun kerajaan membenarkan pelancongan domestik dibuka semula pada Oktober 2020, namun jumlah kehadiran pelancong tempatan menunjukkan pengurangan drastik kepada 1,500 orang sebulan berbanding 15,000 hingga 20,000 sebulan sebelum Covid-19 melanda.

"Keadaan itu membuatkan ramai pekerja dan pengusaha kawasan ini mencari pekerjaan lain apabila terpaksa menutup perniagaan seperti kedai runcit, restoran, rumah rakit dan chalet diusahakan mereka sejak bertahun-tahun," katanya.

Katanya, mereka berharap sempadan antarabangsa dibuka semula untuk memastikan sektor berkenaan dan ekonomi penduduk setempat yang tenat kembali pulih sedia kala.

Berita berkaitan

Terminal Feri Antarabangsa Kukup tidak 'bernyawa' lagi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 2:02 PM