Ketua Keselamatan Terminal Kukup, Mohd Aziz Mohd Amin (kanan) menjelaskan masalah ketiadaan feri kepada penumpang. FOTO Togi Marzuki.
Ketua Keselamatan Terminal Kukup, Mohd Aziz Mohd Amin (kanan) menjelaskan masalah ketiadaan feri kepada penumpang. FOTO Togi Marzuki.
Togi Marzuki

LEBIH 700 penumpang terkandas di Terminal Feri Kukup, Pontian selepas sebuah feri rosak sejak pagi, hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Terminal Feri Kukup, Wahib Musiran berkata, kebanyakan penumpang yang terkandas adalah warganegara Indonesia yang mahu ke Tanjung Balai.

“Biasanya pada musim perayaan jumlah penumpang bertambah hingga dua kali ganda berbanding hari biasa, kerana mereka mengambil kesempatan cuti untuk pulang ke negara.

“Jika hari biasa, kira-kira 400 hingga 500 penumpang tetapi hari ini cecah hampir 1,000 penumpang. Buat masa ini hanya satu operator sahaja beroperasi yang menggunakan dua feri untuk perjalanan dua hala.

“Mengikut jadual yang ditetapkan, dua feri itu akan bergerak ke Tanjung Balai, Indonesia pada jam 9 dan 11 pagi, 1 dan 5 petang tetapi malangnya, satu daripada feri itu rosak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wahib berkata, sebuah feri yang masih berfungsi terpaksa memaksimumkan penggunaan untuk tiga perjalanan sehari.

Berikutan itu, katanya, pengurusan terminal terpaksa menunda jadual perjalanan dan ada penumpang bermalam di jeti sebelum meneruskan perjalanan ke Tanjung Balai, pagi esok.

“Ada beberapa penumpang tiba di jeti sejak pagi tadi (hari ini) tetapi hanya dimaklumkan masalah itu menyebabkan mereka tiada pilihan kecuali menunggu giliran di jeti ini.

“Buat masa ini, keadaan masih terkawal dan kami berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan mereka bermalam di kawasan jeti ini.

“Bagi mereka yang berkemampuan, boleh bermalam di hotel berhampiran tetapi, untuk yang tidak mampu, kita benarkan mereka bermalam di sini (jeti),” katanya yang memberitahu jeti itu mempunyai kemudahan tandas, tempat mandi, bilik persalinan dan surau.

Dalam pada itu, seorang penumpang yang mahu dikenali Safriadi, 46, berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku jika pengurusan feri di Malaysia dan Indonesia saling bekerjasama dan bertolak ansur.

“Saya bersama isteri dan tiga anak terpaksa bermalam di terminal kerana tidak boleh pulang ke kampung disebabkan tiada feri.

“Difahamkan, hanya satu operator yang beroperasi, manakala satu lagi syarikat tidak dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa Indonesia.

“Jika pihak berkuasa Indonesia memberi kelonggaran, kita mungkin tidak berdepan sebarang masalah,” katanya yang bekerja sebagai buruh binaan di Pontian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:00 PM