Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Faliqah Alia Radin Mohd Fuad


HANYA linangan air mata membasahi pipi seorang warga emas tanda terima kasih atas sumbangan yang diterima menerusi Tabung Metro Prihatin.

Latipah Mat Dom, 62, yang menerima kunjungan rombongan Metro Prihatin di Pangsapuri PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, Kuala Lumpur, Jumaat lalu, sebak dan menitiskan air mata tatkala penyerahan sumbangan dilakukan.

Menurutnya, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan kesyukuran kerana ramai pihak yang membantu keluarganya sejak kisah kesempitan hidup keluarga mereka dilaporkan Harian Metro.

"Saya berterima kasih kepada semua yang sudi meringankan beban kami sekeluarga.

“Jumlah bantuan yang disumbang itu mampu melangsaikan sedikit sebanyak hutang yang tertunggak.

“Sekarang kami berharap permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diluluskan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kisah kesusahan wanita kehilangan anak yang menjadi tempat bergantung hidup itu mula mendapat perhatian orang ramai setelah dipaparkan akhbar ini pada 21 November tahun lalu.

Wanita ini dilaporkan menghidap kencing manis dan darah tinggi serta bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

Suaminya, Mohd Daud Ibrahim, 58, menghidap angin pasang serta kencing manis dan terpaksa kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung hutang sewa rumah dan bil air yang tertunggak mencecah ribuan ringgit.

Keluarga itu menerima sumbangan wang tunai RM5,000 dan barang keperluan harian diserahkan oleh Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abd Malek bersama Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Berhad Wan Abdillah Wan Nawi.

Menurut Yusri, sumbangan dilakukan Metro Prihatin dapat membantu meringankan beban orang yang memerlukan.

“Memberi pendedahan kisah ini kepada orang ramai dapat beri kesedaran ada orang yang hidup susah di luar sana.

“Tanpa kita sangka, ada orang terdekat yang memerlukan bantuan kita,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Latipah, 164838080858.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 5:19 PM
Pengarang Eksekutif Harian Metro Yusri Abd Malek (tiga dari kiri) dan Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi (dari kanan) menghulurkan bantuan keperluan dapur kepada Latipah Mat Dom (tiga dari kanan) dan suami Mohd Daud Ibrahim (dua dari kanan) pada program bantuan Harian Metro Prihatin di Kampung Muhibbah, Puchong. FOTO ASWADI ALIAS.
Pengarang Eksekutif Harian Metro Yusri Abd Malek (tiga dari kiri) dan Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi (dari kanan) menghulurkan bantuan keperluan dapur kepada Latipah Mat Dom (tiga dari kanan) dan suami Mohd Daud Ibrahim (dua dari kanan) pada program bantuan Harian Metro Prihatin di Kampung Muhibbah, Puchong. FOTO ASWADI ALIAS.