MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada keluarga Fathilah di Bandar Putra di Kulai. FOTO Mary Victoria Dass
MAS Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada keluarga Fathilah di Bandar Putra di Kulai. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Kulai: "Kami terharu dan bersyukur atas bantuan serta sumbangan diberikan warga Malaysia yang prihatin. Ia meringankan beban kami," kata Siti Fathilah Fathah.

Kisah keperitan hidup Siti Fathilah, 39, yang terlantar akibat cakera tulang belakang tergelincir (slip disc) dan osteoporosis (masalah tulang rapuh) disiarkan Harian Metro hari ini.

Bukan itu saja malah anak lelaki tunggal hasil perkongsian hidup dengan suami, Azmi Hashim, 45, iaitu Ammar Syafiq, 8, turut memberi penjagaan malah membantu membersihkan najisnya.

Susulan itu, Siti Fathilah tidak berhenti menerima panggilan daripada orang ramai untuk membantunya.

Menurutnya, malah ada yang menziarahnya di rumahnya di Bandar Putra di sini, bagi menghulurkan sumbangan termasuk makanan dan barangan keperluannya.

"Saya juga bersyukur dengan sumbangan RM3,000 yang dipindahkan ke akaun bank saya oleh orang ramai. Saya akan gunakannya bagi keperluan perubatan serta kecemasan.

"Saya juga terharu kerana orang ramai bukan sahaja berdoa untuk saya malah mendoakan Ammar Syafiq kerana tersentuh dengan kisah dia memberi jagaan kepada saya biarpun baru berusia lapan tahun.

"Semua bantuan ini adalah rezeki Ammar Syafiq dan kami sekeluarga bersyukur serta akan menggunakan dengan sebaik mungkin termasuk sebagai persiapan Ramadan," katanya.

Siti Fathilah turut menerima sumbangan lampin pakai buang dan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengurus Besar Econsave Cash And Carry Mas Imran Adam.

Berita berkaitan

Tidak jijik bersihkan najis ibu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 4:49 PM