Zuliaty Zulkiffli


KIRA-KIRA 300 kenderaan asing dikenakan tindakan sepanjang Ops Penguatkuasaan Khas Sempadan Malaysia-Thailand sejak 18 Februari lalu.

Operasi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dilaksana di lapan pintu masuk sempadan iaitu dua di Perlis dan Kedah serta satu di Perak dan tiga di Kelantan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Zamakshari Hanipah berkata, antara kesalahan itu termasuk tiada lesen memandu yang sah dan tidak memiliki permit pengedaran antarabangsa (ICP).

Katanya ada juga pemandu dikesan memiliki lesen atau permit pengedaran antarabangsa yang tidak mengikut kehendak ditetapkan selain tiada perlindungan insurans.

“Tindakan terhadap 23 kenderaan di Perlis, 216 kenderaan di Kedah, 17 kenderaan di Perak dan 44 kenderaan lagi di Kelantan.

“Kita juga berjaya mengutip bayaran melalui notis saman terdahulu yang dikenakan terhadap pemandu asing berjumlah RM44,700,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sempadan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, hari ini

Hadir sama, Pengarah JPJ Kedah Ismasuhaimi Shariff.

HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.

Zamakshari berkata, keseluruhannya, 3,039 kenderaan asing diperiksa sepanjang tempoh operasi membabitkan 761 kenderaan di Perlis, Kedah (1,454), Perak (170) dan 654 di Kelantan.

Menurutnya, objektif operasi itu untuk memastikan peraturan ICP dipatuhi sepenuhnya oleh kenderaan asing terutama Thailand, yang memasuki negara ini.

Katanya, sekatan masih dapat dilaksana terhadap kenderaan Thailand yang gagal mematuhi peraturan mengikut Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor Pembuatan dan Penggunaan 1959.

Sekatan jalan raya melepasi jarak dua kilometer dari pintu sempadan itu turut diadakan dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 2:55 PM