TIMBALAN Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis Mahazir Abd Majid (dua kiri) memeriksa dokumen pemandu van dari Thailand yang dipercayai dijadikan teksi haram. FOTO Bernama
TIMBALAN Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis Mahazir Abd Majid (dua kiri) memeriksa dokumen pemandu van dari Thailand yang dipercayai dijadikan teksi haram. FOTO Bernama
BERNAMA

TIADA kompromi untuk mana-mana kenderaan asing yang keluar masuk negara ini, jika gagal mematuhi undang-undang jalan raya, tegas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah.

Beliau berkata, JPJ Perlis sentiasa melakukan pemantauan dan membuat rondaan secara berkala setiap hari bagi mengesan kenderaan asing yang melanggar undang-undang dan peraturan seperti yang diperuntukkan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Peredaran Antarabangsa) 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1967.

“Kita berikan perhatian di dua pintu sempadan yang menghubungkan negeri ini iaitu di Wang Kelian dan Padang Besar bagi memastikan kesemua mereka ini sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Ramai orang tidak nampak apa yang pihak JPJ lakukan kerana kami mengambil pendekatan melakukan rondaan bagi mengesan pesalah dan kurang melakukan operasi statik kerana kaedah ini (rondaan) lebih berkesan bagi mengelak pesalah khususnya kenderaan asing menghidu pergerakan pegawai penguat kuasa,” katanya kepada Bernama diminta mengulas kegiatan van, teksi dan motosikal warga Thailand yang beroperasi ‘secara haram’ di kawasan Padang Besar.

Pengangkutan yang didalangi warga asing itu bukan hanya mengambil dan menghantar penumpang sekitar Padang Besar malah menawarkan perkhidmatan kepada pekerja restoran makanan Thai di luar Perlis seperti Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan bagi memperbaharui pas lawatan sosial mereka di Padang Besar. Ia telah menjejaskan pendapatan pemandu teksi tempatan.

“Pemandu asing yang memandu kenderaan asing ini tidak dibenarkan menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) untuk membawa penumpang dan menjadikan perkhidmatan van mereka sebagai van penumpang atau kenderaan perdagangan,” kata Fatimah.

Katanya sepanjang tahun lalu, JPJ Perlis telah mengambil tindakan undang-undang terhadap 586 kenderaan dari negara jiran atas kesalahan melanggar peraturan yang dikuatkuasa di negara ini.

Kesalahan tertinggi adalah melanggar syarat ICP yang melibatkan 482 kes dan penguatkuasan terhadap kesalahan itu diperkasakan pada tahun ini, katanya.

“(Tahun ini) Sehingga 22 Jan sebanyak 51 kes saman dikeluarkan kepada kenderaan Thailand dan 41 kes daripadanya adalah kesalahan melanggar syarat ICP,” katanya.

Fatimah berkata, antara kesalahan yang dicatat sepanjang 2019 adalah tidak mempunyai atau tamat tempoh sah lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 27 kes, tiada insurans (14 kes), kesalahan nombor pendaftaran (14 kes) dan kesalahan teknikal (tiga kes).

FATIMAH Mohamed Ali Piah. FOTO Bernama
FATIMAH Mohamed Ali Piah. FOTO Bernama

Beliau berkata, antara syarat bagi memohon ICP adalah kenderaan hendaklah berdaftar di negara asal dengan mempamerkan nombor pendaftaran dalam huruf Roman (nombor pendaftaran merah dari Thailand tidak dibenarkan masuk), mempunyai perakuan pendaftaran kenderaan dengan terjemahan bahasa Malaysia atau Inggeris serta mempunyai perlindungan insurans pihak ketiga (insurans Malaysia).

Selain itu, mereka yang memohon ICP perlu mematuhi peraturan di bawah Kaedah Pembinaan dan Penggunaan 1959, cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70 peratus manakala cermin tepi dan belakang hendaklah telus cahaya tidak kurang 50 peratus dan mempunyai lesen memandu dengan terjemahan bahasa Malaysia atau Inggeris, manakala penunggang motosikal diwajibkan memakai topi keledar dan pemandu kereta atau van diwajibkan memakai tali pinggang keledar.

Fatimah berkata, ICP yang dikeluarkan kepada kenderaan asing di Malaysia diberi tempoh masa sehingga 30 hari dan ia boleh dilanjutkan sehingga 90 hari bergantung kepada kelulusan yang dibenarkan oleh JPJ.

Beliau turut menafikan dakwaan pemandu terlibat bahawa terdapat anggota penguat kuasa yang meminta wang sebagai rasuah untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang kerana melanggar syarat ICP.

Katanya wang yang diminta itu adalah bayaran saman yang akan direkodkan atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka kerana melanggar syarat ICP.

“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota JPJ yang didapati menerima suapan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membuat laporan terus kepada pihak JPJ. Namun sehingga kini tiada kes anggota JPJ yang menerima rasuah seperti didakwa,” katanya.

Berita berkaitan

  • 'Depa tak mampu 'ligan' kami'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 11:24 AM