Nor Fazlina Abdul Rahim


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen syarikat pembungkusan yang didapati menyeludup barang subsidi ke negara jiran.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu diambil berikutan kerajaan mahu memastikan kemudahan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia.

Katanya, tinjauannya di pasar Sungai Golok, hari ini turut menemui tepung gandum dan minyak masak dijual, sekali gus menyaksikan kebocoran barangan subsidi.

“Ini lawatan kedua saya ke Sungai Golok kerana kita sedia maklum kerajaan menghadapi kebocoran rentas sempadan dan industri. Malah, kegiatan penyeludupan membabitkan barangan subsidi bukan perkara baru sebaliknya sejak sekian lama.

“Justeru, apa yang saya lihat hari ini memberi input penting kepada KPDNHEP sebelum memperincikan masalah yang berlaku, dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Kita juga akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik lesen syarikat pembungkusan sekiranya didapati mereka turut menyumbang kepada kegiatan penyeludupan,” katanya.

Saifuddin (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak yang dijual di Pasar Pekan Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.
Saifuddin (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak yang dijual di Pasar Pekan Sungai Golok. FOTO Fathil Asri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pasar di Sungai Golok, hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman.

Saifuddin berkata, keutamaan kementerian antara lain bagi memastikan setiap kemudahan subsidi yang diberikan kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia sahaja.

“Walaupun sukar untuk menangani isu ini berikutan sempadan yang luas dan kekangan kakitangan KPDNHEP, namun sekurang-kurangnya kita berusaha mengurangkan kegiatan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 12:54 PM