PEKERJA di sebuah pasar Raya di Bandar Tun Razak, menyusun minyak masak paket. FOTO Saifullizan Tamadi
PEKERJA di sebuah pasar Raya di Bandar Tun Razak, menyusun minyak masak paket. FOTO Saifullizan Tamadi
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pengilang yang didapati menjalankan kegiatan penyeludupan minyak masak subsidi boleh berdepan dengan tindakan digantung operasi dan lesen subsidi ditarik balik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, itu salah satu tindakan yang boleh diambil oleh kementeriannya seperti diperuntukkan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mengikut kesalahan yang dilakukan.

"Kalau kita dapat bukti dan putuskan mereka benar-benar bersalah, ada undang-undang dan peraturan tertentu yang boleh kita kenakan terhadap individu yang menjalankan kegiatan berkenaan.

"Kita perlu lihat sejauh mana masalah itu, kita boleh gantung operasi dan tarik balik lesen mereka, namun ia tertakluk kepada tahap mana kesalahan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan Pemeriksaan dan Pemantauan Harga Barang di Aeon Big, Alamanda, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Sebelum ini, Pengerusi Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan terdapat ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand yang didalangi oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pihak berkenaan serta mengakui mempunyai bukti yang cukup hasil siasatan yang dijalankan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dipetik berkata, ketirisan yang dilakukan itu cukup besar sehinggakan bekalan minyak berkenaan tidak putus di pekan Golok, Thailand yang dijual pada harga RM7.

Sementara itu, Alexander berkata, isu ketirisan minyak masak subsidi itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dan memutuskan untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain bagi membanteras jenayah terbabit.

"KPDNHEP sudah berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasaan yang lain. Malah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof juga sudah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkenaan.

"Kita harapkan sangat bantuan daripada agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain dalam membantu membanteras isu ketirisan ini," katanya.

Mengulas mengenai pembabitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam isu harga barang, Alexander berkata, sukarelawan belia yang mendaftar bawah kementerian berkenaan akan menjadi mata dan telinga KPDNHEP bagi melaporkan sekiranya penjual menaikkan harga barang.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, lebih 3,000 sukarelawan diturunkan bagi memantau harga barangan di negara ini dan sekiranya terdapat kenaikan harga barang mereka akan melaporkan dalam saluran KPDNHEP.

"Setakat ini, kita peruntukkan sekurang-kurangnya 10 orang untuk satu daerah dan jumlahnya akan dikembangkan lagi dari masa ke semasa.

"Pembabitan KBS ini selepas kita lihat kesusahan rakyat yang terpaksa menghadapi isu kenaikan harga barang.

"Jadi saya bertemu dengan MBM bagi membincangkan apa yang kita boleh tolong bagi menangani isu ini, jadi kita gerakkan sukarelawan kami di seluruh negara untuk membantu penguat kuasa KPDNHEP memastikan harga barang kawalan ini dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 6:54 PM