HAMPIR kebanyakan kedai di pasar Golok, Thailand menjual minyak masak subsidi Malaysia. FOTO Syaherah Mustafa
HAMPIR kebanyakan kedai di pasar Golok, Thailand menjual minyak masak subsidi Malaysia. FOTO Syaherah Mustafa
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Bekalan minyak masak subsidi mudah didapati di Golok, Thailand walaupun kerajaan Malaysia melakukan pelbagai pendekatan termasuk memberi amaran kepada pihak berkaitan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

Penduduk di negara berkenaan memaklumkan walaupun isu minyak masak subsidi panas di Malaysia, bekalan, bekalan berkenaan boleh diperolehi seperti biasa bagaikan tidak ada apa yang berlaku.

Bagaimanapun, mereka mendakwa peniaga terutama kedai runcit dan pasar kini menukar taktik dengan meletakkan hanya beberapa paket sahaja di luar premis kerana tidak mahu dilihat mempunyai bekalan yang banyak.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Hamid, 55, berkata dia membeli satu kotak minyak masak subsidi dengan harga 930 baht (RM115.91), semalam.

"Untuk keadaan sekarang, bekalan minyak masak di sini (Thailand) seperti sedia kala terutama di pasar di pekan Golok.

"Setiap paket dijual pada harga 55 baht (RM6.85) bagi setiap satu. Pada mulanya saya menjangkakan kami akan berdepan masalah bekalan kerana hampir setiap hari berita (di Malaysia) melaporkan isu ketirisan minyak masak.

"Namun, sehingga kini bekalan boleh diperoleh seperti biasa dan kebiasaannya harga akan menjadi lebih mahal sehingga RM7.50 hingga RM8 jika bekalan minyak bermasalah, ," katanya ketika dihubungi, di sini.

Penduduk dikenali sebagai Aminah, 45, dari Golok, Thailand pula memaklumkan peniaga kini hanya meletakkan beberapa paket sahaja di luar premis.

"Untuk membeli dengan banyak seperti satu kotak, kita kena memaklumkan kepada mereka kerana peniaga tidak mahu menampakkan mereka menyimpan stok yang banyak. Namun yang pasti mereka mempunyai stok mencukupi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mendedahkan ketirisan minyak masak subsidi ke Thailand didalangi pihak tertentu.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran lanjut pihak berkenaan dan mereka mempunyai bukti yang cukup hasil siasatan yang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 4:47 PM