GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) terus memperketat kawalan sempadan Kelantan-Thailand bagi mengelak barangan subsidi, termasuk minyak masak, diseludup ke Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam usaha menangani masalah berkenaan.

"Kita sentiasa memperketat kawalan di kawasan sempadan dan melakukan sebaik mungkin, namun perlu difahami kawasan sempadan terlalu panjang dan terbuka.

"Kita akui berlaku ketirisan bekalan minyak masak subsidi di Golok, Thailand sebagaimana yang dilaporkan media dan kita akan sentiasa memberi penekanan terhadap perkara ini.

"PGA dengan kerjasama KPDNHEP kini sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti taktik yang diambil oleh penyeludup untuk membawa barang subsidi itu ke Thailand," katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, bekalan minyak masak subsidi Malaysia di Golok dikatakan tidak pernah terputus selain senang diperoleh terutama di pasar negara berkenaan.

Minyak berkenaan dijual pada harga RM6.80 hingga RM7 sepaket, sedikit mahal berbanding sebelum ini iaitu RM5.80 hingga RM6.

Malah, penduduk mendakwa boleh dikatakan hampir setiap rumah di pekan Golok itu mempunyai bekalan minyak subsidi Malaysia memandangkan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:06 PM