GAMBAR fail pada 16 Disember lalu menunjukkan banjir di Kampung Setajam, Rompin. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail pada 16 Disember lalu menunjukkan banjir di Kampung Setajam, Rompin. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


KERUGIAN lebih RM2 juta ditanggung 569 pesawah di Rompin selepas sawah mereka ditenggelami banjir selama seminggu.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin Abdullah Wahab berkata, banjir menyebabkan pokok padi berumur seminggu hingga sebulan mati.

Menurutnya, daerah itu mempunyai kawasan tanaman seluas 2,900 hektar dan kira-kira 1,600 hektar ditenggelami banjir sepenuhnya membabitkan sawah di tujuh kampung terletak di bawah projek Paya Setajam dan Paya Sepayang.

Katanya, kejadian banjir tahun ini lebih buruk berbanding tahun lalu apabila rata-rata pesawah tidak menyangka paras air dalam petak sawah terlalu dalam hingga menenggelam pokok padi yang sedang membesar.

“PPK Rompin simpati dengan pesawah yang terpaksa menanggung kerugian antara RM2,000 hingga RM4,000 apabila tanaman padi mereka musnah sepenuhnya hanya dalam masa beberapa hari sahaja.

“Bencana banjir kali ini membabitkan 169 keluarga pesawah yang kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil padi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Kid Bantuan Banjir kepada pesawah ahli PPK Rompin yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Mazlan Aliman di Dewan Terbuka Kampung Setajam, di Rompin, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Norlizah Mohamad dan Pengerusi PPK Rompin Datuk Md Rusli Ismail.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang melakukan bancian serta pendaftaran pesawah terbabit dengan bencana banjir sebelum bantuan diberikan kepada golongan terbabit.

Abdullah berkata, PPK Rompin belum memutuskan jumlah bantuan yang akan diberikan kepada pesawah.

Katanya, bayaran berkenaan bukan ganti rugi kemusnahan tanaman padi tetapi hanya sumbangan ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 9:37 AM