Nanas antara salah satu tanaman baru yang mahu diteroka LPP. FOTO Arkib NSTP
Nanas antara salah satu tanaman baru yang mahu diteroka LPP. FOTO Arkib NSTP
Fairuz Zaidan

LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) berminat untuk membangunkan tanah terbiar milik kerajaan negeri untuk dimajukan dengan pelbagai projek pertanian baru.

Pengerusinya Datuk Mazlan Aliman berkata, sebagai permulaan LPP sudah memohon pengiktirafan Tanah Adat Melaka (MCL) di dua lokasi di daerah Masjid Tanah dan Alor Gajah masing-masing berkeluasan 14 hektar untuk dimajukan sekali gus berupaya menjana pendapatan baru menerusi penerokaan projek pertanian seperti tanaman fertigasi.

Beliau berkata, LPP juga berminat untuk memperluaskan penanaman buah markisa bagi memenuhi permintaan pengeluaran jus minuman itu yang dikomersialkan pertubuhan berkenaan, pada masa sama mahu meneroka tanaman baru seperti nanas MD2 dan pokok kelapa matag yang mempunyai permintaan di pasaran.

“Biarpun Melaka negeri kecil, kita tetap berkeyakinan masih terdapat tanah yang boleh diusahakan sekali gus menyahut seruan kerajaan negeri dalam memperkasakan eco-tourism.

“Berhubung tanaman buah markisa, LPP memerlukan sekurang-kurangnya empat hektar di Melaka bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap produk berasaskan buah itu yang kini sudah dimulakan LPP daerah Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Adly Zahari di pejabatnya di Seri Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, LPP turut menyasarkan penambahan 10 projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tahun ini selepas kejayaan pembangunan di 279 PPK di seluruh negara.

“Kita mahu jadikan PPK khususnya di PPK Kuala Langat sebagai projek contoh yang boleh diikuti peladang untuk meneroka konsep pertanian moden,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 11:48 PM