SEBAHAGIAN ahli PPN yang menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung PPN Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil
SEBAHAGIAN ahli PPN yang menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung PPN Negeri Sembilan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) komited dalam usaha mempelbagaikan aktiviti ekonomi bagi membangunkan masyarakat peladang khususnya dalam bidang industri makanan ternakan negara.

Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah projek penanaman dan pengeluaran jagung bijian bagi membangunkan industri makanan ternakan.

Pengerusi NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, pihaknya mengambil inisiatif dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantaian nilai Pertubuhan Peladang (PP).

Katanya, perancangan pembangunan NAFAS bukan saja perlu seiring dengan saranan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan produk makanan ternakan, malah membantu membangunkan masyarakat peladang itu sendiri.

“Ketika ini kita banyak mengimport bahan mentah dari Brazil dan China bagi pengeluaran makanan ternakan yang sekali gus memberi kesan kepada harga ayam dan ternakan lain.

“Oleh itu, NAFAS mengambil inisiatif membabitkan diri dalam aktiviti itu menerusi kilang, Feedmills Sdn Bhd di Muar, dalam membantu kerajaan menstabilkan harga ayam khususnya, untuk kepentingan pengguna.

“Usaha ini membabitkan kerjasama antara NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPN Negeri Sembilan kali ke-34 2017 di Klana Resort Seremban, baru-baru ini.

 SAIPOLBAHARI (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan wang keuntungan perniagaan kepada Ibrahim  bagi diagihkan kepada ahli PPK. FOTO Mohd Amin Jalil
SAIPOLBAHARI (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan wang keuntungan perniagaan kepada Ibrahim bagi diagihkan kepada ahli PPK. FOTO Mohd Amin Jalil

Hadir sama, Pengerusi PPN Negeri Sembilan Datuk Ibrahim Jahaya dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sembilan Azizan Abd Hamid.

Saipolbahari berkata, dalam memastikan kejayaan projek berkenaan, ahli peladang dan PPK bertindak sebagai peserta dalam penanam jagung bijian.

“PPN pula akan menjalankan proses pengeringan jagung bijian dan akhir sekali NAFAS sebagai pengeluar dan pemasar makanan ternakan ayam.

“Kami memerlukan lebih banyak jagung bagi meningkatkan pengeluaran bijian berkenaan ketika kilang terbabit mampu mengeluarkan 1.5 tan metrik sejam,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah menetapkan sasaran untuk mengeluarkan 12.2 matrik tan sejam bijian itu menjelang awal tahun depan bagi memenuhi permintaan.

“Kami (NAFAS) perlukan lebih banyak bekalan jagung untuk memastikan kita dapat mengurangkan import bahan berkenaan.

“Kami memerlukan tanaman jagung tambahan seluas kira-kira 10,000 hektar lagi berbanding lima hektar ketika ini, untuk memastikan pusingan pengeluaran dapat menampung permintaan di pasaran,” katanya.

Saipolbahari berkata, pihaknya menggesa PPK merebut peluang berkenaan dengan melaksanakan projek tanaman jagung di kawasan milik mereka.

Menurutnya, NAFAS memberikan keutamaan kepada ahli gabungan pertubuhan itu dalam menjayakan sesuatu projek ekonomi untuk memastikan pulangannya terus kepada peladang.

“Setakat ini, banyak PPK yang sudah menyahut cabaran ini dan mula melaksanakan projek tanaman jagung, namun belum sepenuhnya.

“NAFAS akan membekalkan benih dan hasilnya PPK perlu menjual kepada pertubuhan itu,” katanya.

“Menjadi harapan kita agar impian melahirkan lebih ramai jutawan kalangan ahli peladang akan tercapai menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata PPN negeri itu akan terus mengolak langkah dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi masyarakat peladang.

“Ketika ini, PPN negeri menaungi 11 PPK, 226 unit peladang dan 44 unit koperasi dengan keahlian koperasi keseluruhan seramai 28,853 orang manakala nilai saham yang terkumpul sehingga akhir 2016 berjumlah RM983,586.

“Isi padu perniagaan yang dijalankan bagi tempoh 2016 mencecah RM10.7 juta berbanding pada 2015 sebanyak RM9.4 juta.

“Aktiviti itu membabitkan pemasaran ayam, pemasaran sawit, sewaan, kejenteraan, ternakan ayam daging, kerja kontrak, pengumpulan hasil pertanian, input pertanian dan pusat belian padi,” katanya.

Pada majlis berkenaan, NAFAS menyerahkan zakat perniagaan kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) sebanyak RM68,183, manakala sebanyak RM3,000 diagihkan kepada setiap PPK di Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:15 AM