KAKITANGAN LPP Melaka Tengah, Yaakop Abu Bakar (kiri) dan Asna Nazifi Abd Aziz
KAKITANGAN LPP Melaka Tengah, Yaakop Abu Bakar (kiri) dan Asna Nazifi Abd Aziz
Nazri Abu Bakar

Melaka bakal dikenali sebagai pengeluar utama buah markisa di Malaysia satu hari nanti susulan usaha keras dijalankan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Melaka untuk menarik minat orang ramai mengusahakan tanaman berkenaan.

Pengurusnya, Normayati Che Said berkata, setakat ini, 160 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Melaka Tengah mengusahakan tanaman terbabit dengan 30 ahli benar-benar aktif mengusahakan tanaman seluas tiga hektar.

“Ia membabitkan kawasan Parujas, Lanjut Manis, Pengkalan Renggam, Bukit Kecil @ Bukit Rambai, Paya Dalam dan Kandang Tengah.

“Kami sedia memberi kerjasama, khidmat nasihat serta penerangan berkaitan kelebihan tanaman markisa. ia memang boleh membawa pulangan lumayan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya boleh memasarkan markisa terbabit yang mendapat permintaan tinggi.

Katanya, permintaan pasaran amat tinggi sehingga LPP Melaka terpaksa mengambil hasil tanaman berkenaan dari Johor.

Sementara itu, Pengerusi LPP Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan sebidang tanah bagi mengusahakan tanaman berkenaan pada skala besar.

“Setakat ini pengeluaran di Melaka hanya tiga tan metrik sebulan dan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan sekurang-kurangnya 10 tan metrik sebulan.

“Jika semua berjalan lancar, ia boleh dibekalkan bukan saja ke Melaka malah seluruh negara selain di eksport,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 8:23 PM