KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Victorious Step (VStep), Ismail Ibrahim (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian diiringi Pengarah Kanan Perolehan PROTON, Hamizan Osman (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob (kanan) pada pelancaran kilang Victorious Step di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Victorious Step (VStep), Ismail Ibrahim (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian diiringi Pengarah Kanan Perolehan PROTON, Hamizan Osman (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob (kanan) pada pelancaran kilang Victorious Step di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Hazwan Faisal Mohamad


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan sifar pekerja asing dalam industri automotif menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 220,000 pekerja dalam industri automotif yang bekerja dengan vendor tier 1 dan tier 2 dan 70,000 daripadanya adalah pekerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, berkata pihaknya berharap sasaran itu mampu dicapai pada tahun ini kerana ia akan membuka peluang pekerjaan baharu buat rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan pekerja asing berkenaan.

Beliau berkata sebagai permulaan, pihaknya selesai mengadakan perbincangan dengan PERODUA dan PROTON dan kedua-duanya bersetuju untuk mengurangkan pekerja asing di semua 200 vendor tier 1 mereka yang berjumlah 40,000 pada tahun ini.

Pihaknya juga akan terus giat mengadakan perjumpaan dengan pengeluar kereta lain pada tahun ini untuk tujuan sama, katanya.

"Semua pekerja asing yang akan diberhentikan ini akan digantikan oleh pekerja tempatan. Ini bermakna pada tahun ini, akan ada 70,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan dalam industri automotif.

"Kita juga mempunyai program Pensijilan Profesional Berasaskan Industri (IPC) yang melatih pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama enam bulan membabitkan sebulan teori dan lima bulan latihan amali.

"Jadi selepas tamat program ini, mereka boleh terus bekerja dengan vendor-vendor ini," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) di antara MARii dengan Victorious Step Sdn Bhd (VStep) bagi pelaksanaan teknologi automasi pintar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan VStep, Ismail Ibrahim.

Langkah pengurangan pekerja asing itu sudah mula dilaksanakan sejak 2014 dan sehingga tahun lalu, seramai 32,000 pekerja asing telah digantikan dengan pekerja tempatan.

Ditanya sama ada langkah itu akan meningkatkan kos kepada vendor, Madani berkata, ia adalah tidak benar berdasarkan kajian analisis kos yang dibuat pihaknya.

"Pertamanya, pekerja tempatan tidak akan balik ke negara asal berbanding pekerja asing. Jadi, majikan tidak perlu melatih semula pekerja tempatan ini berbanding terpaksa melatih semula pekerja lain apabila pekerja asing tadi pulang ke negara mereka dan ini meningkatkan kos latihan.

"Lagi satu, kos levi pekerja asing yang perlu ditanggung oleh majikan tetapi tidak buat pekerja tempatan yang tidak dikenakan levi. Begitu juga kos pasport dan sebagainya.

"Jadi sebenarnya adalah lebih kompetitif secara menyeluruh untuk mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing," katanya.

Sementara itu Ismail, berkata pihaknya menjangkakan jualan syarikatnya akan meningkat 200 peratus dalam tempoh setahun hasil daripada MoA dengan MARii.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:33 PM