GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) memperuntukkan RM500 juta kemudahan pembiayaan untuk membantu vendor membangunkan teknologi dan perniagaan seiring dengan Industri 4.0.

Pakej pembiayaan akan ditawarkan melalui program berstruktur dengan kadar menarik untuk memberi kemudahan kepada syarikat-syarikat yang berpotensi sejajar dengan pengembangan perniagaan pelanggan mereka.

Untuk memudahkan program bantuan tersebut, Bank Muamalat hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan Program Pembiayaan Vendor Automotif dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

MoU itu bertujuan untuk membantu pengeluar alat ganti dan komponen automotif yang berdaftar di bawah MARii mendapatkan akses kepada kemudahan perbankan yang lebih baik untuk meningkatkan aliran tunai mereka semasa menjalankan perniagaan dengan pengeluar kereta dan pengeluar peralatan asli (OEM).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dalam satu kenyataan bersama berkata program itu merupakan strategi menang-menang bagi kedua-dua pihak kerana ia akan membolehkan bank menyampaikan hasil yang diharapkan daripada Shariah melalui amalan dan penawaran yang memberikan kesan positif kepada ekonomi, masyarakat, dan persekitaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, institut itu akan mengenal pasti vendor automotif yang layak untuk pelbagai OEM yang beroperasi di seluruh negara dan berfungsi sebagai rujukan kepada para vendor serta bertindak sebagai sumber rujukan kepada Bank Muamalat mengenai pengetahuan industri automotif.

"Pelaburan teknologi memerlukan perancangan strategi jangka panjang, rancangan strategik dipacu oleh data untuk mengurangkan risiko yang berkaitan, justeru ia juga memerlukan pakej pembiayaan rantaian bekalan inovatif yang menarik bagi penggiat industri dan sektor perbankan."

MoU itu adalah langkah penting untuk membolehkan sektor perbankan di Malaysia menjadi lebih inklusif dalam sektor teknologi tinggi ini, katanya.

Madani berkata, untuk memenuhi syarat untuk Program Pembiayaan Vendor Automotif, vendor terpilih akan menjalani program pembangunan rantaian nilai khusus anjuran MARii seperti Program 'Lean Production System (LPS)', Program Kecemerlangan Pembekal Automotif, Program 'Growth Mindset CEO,' Program Kejuruteraan Reka Bentuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:30 PM