BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif, khususnya duti eksais yang penting dalam pembangunan industri berkenaan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata duti eksais misalnya berperanan penting dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) serta pembangunan vendor.

"(Duti eksais) ini adalah untuk menggalakkan vendor mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut soalan tambahan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Tengku Zafrul berkata kerajaan bertindak menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais serta cukai jualan.

Turut diberikan adalah pengecualian dan pengurangan duti import ke atas komponen-komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan, katanya.

Beliau berkata, kadar atau tahap insentif yang diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pelan untuk eksport.

"Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen-komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean," katanya.

Pendekatan itu, kata beliau, membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui bahan ekonomi hasil daripada aktiviti nilai tambah selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan daripada Azahari Hasan (PN-Padang Rengas), Tengku Zafrul menjelaskan, duti eksais bagi kenderaan mampu milik terutamanya harga kereta berkurangan daripada RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 60 hingga 110 peratus untuk kereta mewah.

"Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi oleh daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:40 PM
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA