MUHAMMAD Hatta bertanyakan sesuatu kepada PATI yang ditahan. FOTO Shahrinnahar Latib
MUHAMMAD Hatta bertanyakan sesuatu kepada PATI yang ditahan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


JABATAN Imigresen Pahang menahan 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 13 wanita selepas menggempur sebuah taman tema di Genting Highlands hari ini.

Pengarah Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, operasi bermula 3 hingga 6.30 petang itu dilaksanakan pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Kami menjalankan pemeriksaan ke atas 55 warga asing yang bekerja di situ dan mendapati 54 daripada mereka termasuk wanita melakukan kesalahan Imigresen.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI yang berusia lingkungan 25 hingga 42 tahun itu adalah pekerja di taman tema berkenaan.

“Mereka yang ditahan itu membabitkan warga 18 warga Myanmar, Indonesia (12), Bangladesh (sembilan), Pakistan (tujuh, India (empat), Nepal (tiga) dan Filipina (seorang),” katanya dalam sidang media di pejabat Jabatan Imigresen Pahang di Indera Mahkota hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga beberapa warga asing cuba melarikan diri apabila melihat kehadiran pihak berkuasa dan pihaknya akan mengadakan operasi ini dengan lebih kerap pada masa akan datang.

“Siasatan juga mendapati terdapat empat majikan yang berbeza menggajikan pekerja asing tanpa izin ini dan semua akan dipanggil untuk memberi keterangan sebelum didakwa di mahkamah.

“Semua PATI yang ditahan akan dibawa Depot Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Kemayan, Bera untuk untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kesalahan yang dilakukan PATI ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah, dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 10:58 PM