PATI yang ditahan. FOTO Ihsan Imigresen
PATI yang ditahan. FOTO Ihsan Imigresen
Faliq Lajim


JABATAN Imigresen menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menggempur Uptown Seksyen 24 di Shah Alam, kelmarin.

Ia menerusi Ops Kutip bermula jam 11.30 malam hingga jam 2 pagi keesokan harinya.

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi khas itu selepas pihaknya menerima rungutan daripada netizen di media sosial mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Kami menjalankan pemeriksaan ke atas 120 warga asing dan mendapati 67 daripada mereka termasuk wanita melakukan kesalahan Imigresen.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada antara warga asing yang berada di lokasi operasi adalah pekerja dan pengunjung.

"Semua yang ditahan berusia 20 hingga 55 itu dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, ketika serbuan terdapat segelintir PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Bagaimanapun gagal berikutan anggota kita sudah bersiap siaga dan membuat persiapan rapi lebih awal," katanya.

Kata Mohamad Shukri, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas/permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Operasi turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 9:41 AM