Kulim: Taktik anggota Jabatan Imigresen Kedah menyamar sebagai pelanggan di pasar malam Kelang Lama, kelmarin, berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang leka melakukan urusan jual beli.

Ops Jaja dan Belanja diketuai Penolong Pengarah Imigresen Nar Azaman Ibrahim bersama 24 anggota membuat pemeriksaan terhadap 62 warga asing terdiri daripada penjaja dan pelanggan di tapak pasar malam berkenaan bermula jam 8.30 malam.

Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata, ketika pihaknya membuat pemeriksaan di pasar malam itu, kebanyakannya sedang sibuk dengan urusan jual beli tanpa menyedari kehadiran anggotanya.

Pemeriksaan mendapati 24 PATI terdiri empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, Myanmar (sembilan), Bangladesh (enam), Pakistan (tiga) dan Thailand (seorang) berusia 25 hingga 45 tahun dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan ialah tiada dokumen perjalanan, melanggar syarat pas dan menetap lebih masa.

“Mereka yang ditahan bukan saja pelanggan malah terdapat dua menjual sate ikan bakar dan barang perhiasan,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang wanita warga Thailand berusia 34 tahun ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam pada jam 10.25 pagi kelmarin.

Menurutnya, pihaknya mengesan wanita terbabit aktif keluar masuk ke negara ini sejak tahun lalu dipercayai untuk bertemu dengan teman lelakinya, selain mendakwa membayar sejumlah wang bagi mendapatkan visa dan cop palsu untuk tinggal di negara ini.

“Semua PATI yang ditahan itu dibawa ke Depot Tahanan Belantik di Sik untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:27 AM