Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan semua warga asing yang didapati bersalah melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang di negara ini akan dikenakan hukuman dan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata, warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk proses penghakiman, dan jika didapati bersalah mereka akan berdepan penjara dan sebatan.

“Seorang warganegara asing boleh menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melanggar peruntukan perundangan apabila melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki suatu pas/permit yang sah untuk masuk dan berada di Malaysia.

“Mereka juga boleh menjadi PATI jika melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh pas yang dibenarkan, dan apabila melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar atau gagal mematuhi syaratPas atau Permit yang dikeluarkan,”katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mustafa berkata, warga asing yang melakukan jenayah di negara ini adalah di bawah bidang kuasa dan tindakan pihak polis.

Katanya, selepas menjalani proses penghakiman dan selesai menjalani hukuman di penjara, pihak penjara akan menyerahkan banduan asing ini kepada JIM untuk proses mengusiran pulang ke negara asal.

“Sebelum dihantar pulang ke negara asal, JIM akan mengeluarkan Perintah Tahan Usir (PTU) dan memasukkan nama mereka dalam senarai hitam jabatan.

“Mereka akan disenaraihitamkan dari dibenarkan masuk ke negara ini bagi satu tempoh masa tertentu atau seumur hidup,”katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 21 Januari hingga 20 November, seramai 59,765 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan sudah diusir ke negara asal termasuk banduan asing yang sudah tamat menjalani hukuman penjara.

Katanya, dari jumlah ini warga Indonesia adalah yang tertinggi iaitu seramai 24,614 diikuti Bangladesh (6,834), dan Filipina (6,483).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:17 AM