ANTARA Pati menyorok dalam tong sampah dalam serbuan JIM Kuala Lumpur di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan imigresen.
ANTARA Pati menyorok dalam tong sampah dalam serbuan JIM Kuala Lumpur di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan imigresen.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BERSEMBUNYI di dalam tong sampah, tong ikan dan bakul sayur.

Itu cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang panik apabila premis mereka di Pasar Borong Kuala Lumpur diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Dalam serbuan bermula 4 pagi itu, semua Pati berkenaan sanggup menghidu bau busuk dan berada di tempat kotor semata-mata mahu meloloskan diri.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi selama dua jam membabitkan 131 pegawai dan anggota dari Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur dilakukan hasil maklumat dan risikan dilakukan pihaknya.

“Dalam operasi berkenaan seramai 500 individu diperiksa dan hasilnya 392 Pati termasuk 10 wanita berusia 23 hingga 45 tahun ditahan.

“Tahanan membabitkan warga Myanmar seramai 286 orang, Indonesia (26), India (38), Bangladesh (40), Nepal (1) dan Pakistan (1).

“Antara kesalahan dikesan adalah gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan dan memiliki pas atau permit perjalanan palsu,” katanya.

Hamidi berkata, ketika serbuan dijalankan warga asing berkenaan bertempiaran melarikan diri hingga ada yang bersembunyi di dalam tong ikan, tong sampah, kotak dan di bawah lori bagi mengelakkan daripada dicekup.

Beliau berkata, tindakan itu hanya sia-sia kerana berjaya dikesan anggota penguat kuasa JIM.

“Semua Pati ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(l) akta sama.

“JIM memandang serius isu kebanjiran Pati di pasar borong terutama majoriti dari Myanmar dan yang memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kami akan terus melakukan pemeriksaan berkala bagi mengekang kebanjiran Pati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 8:16 PM