RAKAMAN satelit pada 4 Januari lalu menunjukkan asap daripada kebakaran di timur Orbost, Australia. FOTO AFP / Satellite image 2020 Maxar Technologies
RAKAMAN satelit pada 4 Januari lalu menunjukkan asap daripada kebakaran di timur Orbost, Australia. FOTO AFP / Satellite image 2020 Maxar Technologies
Muhaamad Hafis Nawawi


MALAYSIA sudi menghulurkan bantuan bagi membantu Australia yang kini berhadapan krisis kebakaran hutan yang melanda negara itu sejak September lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bantuan itu termasuk menghantar anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), aset dan pegawai.

Menurutnya, ia bagi membantumemadamkan kebakaran itu secepat mungkin selain menyokong operasi menyelamat Australia.

“Saya juga amat sedih apabila mengetahui kejadian buruk kebakaran itu sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan besar di Australia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya melahirkan rasa takziah kepada mangsa, keluarga mereka dan semua yang terbabit,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi beliau, semalam.

Wan Azizah berkata, doa rakyat Malaysia mengiringi bersama-sama rakyat Australia ketika tempoh sukar ini.

Media melaporkan kebakaran hutan itu memusnahkan lebih empat juta hektar kawasan di lima negeri sejak September lalu dan lapan kematian dikaitkan dengan kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 12:31 AM