AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia membantu kerajaan Australia memadamkan kebakaran.
AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia membantu kerajaan Australia memadamkan kebakaran.
Hairulazim Mahmud

MALAYSIA hanya akan menawarkan bantuan memadam kebakaran jika dipersetujui kerajaan Australia yang sedang berdepan krisis kebakaran hutan sejak September lalu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, buat masa ini bantuan yang akan ditawarkan tertakluk kepada persetujuan kerajaan negara terbabit.

"Kita masih berurusan dengan pihak Australia. Bentuk bantuan dan kekuatan tertakluk kepada permohonan kerajaan Australia dan kemampuan negara kita.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima jawapan daripada pihak Australia," katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia sudi menghulurkan bantuan kepada negara yang sedang ditimpa bencana itu termasuk menghantar anggota NADMA, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), aset dan pegawai.

Kata beliau, ia bagi membantu memadamkan kebakaran itu secepat mungkin selain menyokong operasi menyelamat Australia.

Media melaporkan kebakaran hutan itu memusnahkan lebih empat juta hektar kawasan di lima negeri sejak September lalu dan lapan kematian dikaitkan dengan kebakaran itu.

Agensi melaporkan, menjelang lewat petang semalam, Victoria merekodkan 14 kebakaran pada tahap kecemasan atau amaran yang memerlukan pemindahan manakala New South Wales mempunyai 11 kebakaran kecemasan selain lebih 150 kebakaran lain di seluruh beberapa negeri itu.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison turut sehingga seramai 23 kematian akibat kebakaran di seluruh negara itu.

Katanya, pada minggu ini sahaja, 12 kematian dicatatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 1:21 PM