ANGGOTA Pihak Berkuasa Kebakaran Negara (CFA) melakukan kawalan kebakaran di barat Corryong, Victoria, Australia pada 7 Januari 2020. FOTO Reuters/State Control Centre Media/News Corp Australia
ANGGOTA Pihak Berkuasa Kebakaran Negara (CFA) melakukan kawalan kebakaran di barat Corryong, Victoria, Australia pada 7 Januari 2020. FOTO Reuters/State Control Centre Media/News Corp Australia
Siti A’isyah Sukaimi


MESYUARAT Jemaah Menteri, hari ini meluluskan cadangan penghantaran misi bantuan kemanusiaan susulan kebakaran hutan di Australia seramai 65 orang terdiri daripada 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 22 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, misi yang akan diselaraskan oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini akan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan anggaran kos sebanyak RM2.1 juta bagi jangkaan tempoh dua minggu.

“Bagaimanapun, misi ini hanya akan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada kerajaan Australia dan nasihat keselamatan daripada Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Australia.

“Misi ini dijangka berhadapan dengan risiko keselamatan berikutan kebakaran yang meluas di negara berkenaan.

“Justeru, anggota yang terbabit akan dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya. Pasukan ini juga akan dilindungi oleh perlindungan insurans dan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri menyatakan hasrat Malaysia untuk turut membantu dalam usaha pemadaman kebakaran hutan berkenaan.

Beliau berkata, bantuan ini memperlihatkan mengenai keprihatinan Malaysia dengan masalah kebakaran hutan Australia berdasarkan kepada hubungan baik dua hala yang terjalin.

“Malaysia pernah terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Indonesia bagi pemadaman kebakaran hutan pada 1997 di Kalimantan dan pada tahun 2005 di Riau.

“Berdasarkan pengalaman ini, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti dari segi keupayaan dan pengalaman dalam operasi pemadaman hutan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 7:26 PM