Sri Ayu Kartika Amri


PANGLIMA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 berkuatkuasa hari ini.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-20, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Affendi dalam Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu.

Perlantikan Affendi sebagai PAT ke-21 itu adalah Panglima Tentera Udara (PTU) yang kedua dilantik ke jawatan berkenaan selepas Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin memegang jawatan sebagai PAT ke-17 pada 1 September 2009 hingga 14 Jun 2011.

Affendi adalah anak jati Sarawak pertama yang dilantik menerajui kepimpinan tertinggi ATM.

Zulkifli (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Affendi (kanan) sambil diperhatikan Mohamed. FOTO/Halimaton Saadiah Sulaiman
Zulkifli (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Affendi (kanan) sambil diperhatikan Mohamed. FOTO/Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak dan pada 1978, beliau dipilih melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi sehingga berjaya memperoleh Sijil Peperiksaan Malaysia (MCE) pada 1979.

Sepanjang kerjaya dalam operasi penerbangan, beliau adalah seorang yang disegani dan amat dikenali sebagai juruterbang pejuang yang cekap.

Beliau aktif dalam pelbagai operasi udara seperti Close Air Support dan Battlefield Interdiction Mission ketika menentang pemberontakan komunis lewat 1980-an.

Affendi juga terbabit dalam pengoperasian pesawat A-4 Skyhawk dan MiG-29 meliputi rondaan di seluruh Malaysia termasuk Gugusan Semarang Peninjau dan Zon Maritim Malaysia di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:13 PM