AFFENDI Buang bersama kumpulan induk TPA-M15. FOTO BERNAMA
AFFENDI Buang bersama kumpulan induk TPA-M15. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


TIM Pemantau Antarabangsa Mindanao 15 (TPA-M15) berlepas ke Mindanao, Filipina, hari ini, bagi meneruskan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Kumpulan Induk TPA-M15 yang diketuai Timbalan Ketua Misi Briged Jeneral Khalil Mohd Ali akan meneruskan misi menggantikan TPA-M14.

Ketua misi bersama lima pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua pegawai awam itu berlepas menggunakan pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang jam 9 pagi tadi.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penghantaran kumpulan induk itu adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat kerajaan Filipina dan persetujuan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, kumpulan pendahuluan TPA-M15 yang diketuai Mejar Jeneral Datuk Muhammad Anwar Abdullah bersama empat anggota berlepas ke Mindanao pada 6 Mac lalu menggunakan penerbangan komersil.

“TPA-M15 akan melaksanakan tugas berpandukan kepada Term of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian genjatan senjata Filipina dan MILF.

“Justeru, pergerakan kumpulan induk pada pagi ini akan melengkapkan kekuatan TPA-M15 untuk memulakan penugasan secara rasmi esok,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Induk TPA-M15 di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut, Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Angkatan Bersama, Datuk Yazid Arshad.

Affendi berkata, Malaysia diamanahkan menerajui misi itu sejak sedekad lalu dan ATM berjaya melaksanakan mandat diberi dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

“Ini adalah komitmen negara kita kepada dunia luar atas prinsip menjunjung keamanan sejagat. Kita sememangnya berbangga dengan kepercayaan diberikan,” katanya.

Beliau berharap TPA-M15 dapat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 2:51 PM