Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM. Foto Arkib NSTP
Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM. Foto Arkib NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan

TIMBALAN Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dilantik sebagai Panglima TUDM berkuat kuasa hari ini.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyerahkan tampuk pemerintahan tertinggi TUDM itu kepada Ackbal ketika Istiadat Perbarisan Serah Terima Jawatan Panglima TUDM di Pengkalan Udara, Subang.

Affendi berkata, dia yakin dengan perlantikan Ackbal bagi menerajui jawatan yang dipegangnya sebelum ini, mampu meneruskan legasi dan kecemerlangan TUDM.

Menurutnya, beliau harap Ackbal dapat memimpin TUDM ke arah wawasan menjadikan badan itu sebagai satu kuasa udara yang unggul dan disegani pada masa hadapan.

“Tahniah juga kepada Panglima Pendidikan dan Latihan Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan yang akan dilantik sebagai Timbalan Panglima TUDM.

“Dengan pucuk kepimpinan yang baru ini, saya yakin akan banyak kejayaan akan diperolehi TUDM,” katanya ketika berucap di majlis istiadat berkenaan.

Ackbal menggantikan Affendi Buang yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, Ackbal berkata, pelbagai perancangan TUDM sudah diatur untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Apa yang dilakukan di bawah kepimpinan Affendi, saya akan teruskan perancangannya.

“Amanah dan tanggungjawab yang diberikan akan digalas sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 11:28 AM