MANGSA. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


LELAKI di Batu Pahat yang dilaporkan hilang bersama bapa saudaranya ketika keluar menangkap ikan selepas bot yang dinaiki karam akibat dipukul ombak besar kira-kira jam 10 pagi kelmarin, ditemui selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Jeffri Jamal berkata, Yatiman Manap,36, diselamatkan oleh sebuah kapal dagang yang melalui perairan Kuala Sungai Sarang Buaya, 7.45 petang semalam.

Katanya, sebelum itu, bapa saudaranya, Juwahir Buani, 62, yang berasal dari Kampung Parit Mislan ditemui lemas jam 3.30 petang hari kejadian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Berikutan penemuan lelaki itu, pihak pengurusan kapal dagang menyerahkan mangsa kepada pasukan mencari dan menyelamat sebelum dibawa ke Jeti Sarang Buaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, adik Ipar kepada Yatiman, Zul Afandi Rafiee, 20, ketika dihubungi berkata, abang iparnya dikatakan berpaut pada salah satu tong ikan yang ada di dalam bot dinaiki selepas karam selama kira-kira 34 jam.

“Dia kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan lanjut dan keadaannya masih lemah kerana tidak menjamah sebarang makanan ketika berada di dalam air.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga amat lega dengan berita penemuan itu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamatkan abang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 10:03 AM