ANGGOTA APMM bersama sekumpulan penjual besi warga Indonesia yang terkandas selepas bot dinaiki karam di perairan Batu Pahat. FOTO Ihsan APMM
ANGGOTA APMM bersama sekumpulan penjual besi warga Indonesia yang terkandas selepas bot dinaiki karam di perairan Batu Pahat. FOTO Ihsan APMM
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Lima penjual besi buruk warga Indonesia diselamatkan selepas hampir 11 jam di atas rakit keselamatan apabila bot dinaiki karam di perairan Batu Pahat, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi ketika kumpulan penjual besi buruk itu dalam perjalanan dari Pulau Nipah, Indonesia ke Batam.

Menurutnya, bot kayu dinaiki lima lelaki itu turut berisi besi buruk mengalami kebocoran sebelum karam bagaimanapun sebuah kapal dagang menemui mereka pada 1.15 pagi sebelum menawarkan bantuan awal dengan memberikan rakit keselamatan.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal daripada Vessel Traffic System (VTS) Klang berkaitan penemuan mangsa di rakit keselamatan oleh sebuah kapal kargo yang melalui Selat Melaka pada 12.35 tengah hari hari ini.

"Lokasi mereka ditemui adalah di kedudukan 11.4 batu nautika barat daya Tanjung Segenting Batu Pahat.

"Bertindak atas maklumat, APMM ke lokasi berkenaan dan mendapati mangsa diselamatkan bot nelayan tempatan yang berada di lokasi berhampiran," katanya menerusi siaran media hari ini.

Nurul Hizam berkata, APMM membawa semua mangsa ke Pejabat APMM Batu Pahat bagi siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia.

"Kesemua mangsa berusia antara 24 hingga 44 tahun dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 6:52 PM