Antara 13 kru kapal dagang KM Avatar yang diselamatkan. FOTO Zuhairi Zuber
Antara 13 kru kapal dagang KM Avatar yang diselamatkan. FOTO Zuhairi Zuber
Hasbullah Azhar


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan 13 daripada 15 kru kapal dagang Indonesia yang karam di perairan Tanjung Kling, Melaka, kira-kira 9 pagi hari ini.

Kapal dagang KM Avatar dari Surabaya, Indonesia itu membawa muatan makanan dalam perjalanan ke Batam dari Belawan, Medan, Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Daerah Kuala Linggi (DM5) Leftenan Komander Mohammed Suffian Khairudin berkata, 13 kru itu diselamatkan sebuah kapal dagang asing ketika mangsa ditemui di atas kontena yang terapung sebelum menyerahkan kepada APMM di perairan Tanjung Kling.

"Kami menerima panggilan daripada MV Udine yang berdaftar di Singapura, pada 9.45 pagi meminta memindahkan mangsa yang diselamatkan. Justeru, kita lancarkan misi menyelamat membawa 13 mangsa ke Jeti Parameswara, di sini, kira-kira 1 tengah hari.

"Dua lagi kru dilapor hilang. Kita sudah lancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya di Jeti Parameswara, Eye On Malaysia, di sini.

Beliau berkata, dua mangsa yang masih belum ditemui ialah kapten kapal, Samuel Handriyanto, 52, dan tukang masak, Hermawan, 35.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 4:34 PM