ANGGOTA APMM menyelamatkan mangsa kapal dagang karam dalam kejadian kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi, hari ini. Gambar kecil, kapal MV AMANDA. FOTO ihsan APMM.
ANGGOTA APMM menyelamatkan mangsa kapal dagang karam dalam kejadian kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi, hari ini. Gambar kecil, kapal MV AMANDA. FOTO ihsan APMM.
Nurul Amanina Suhaini


ENAM anak kapal warga Bangladesh dan China diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) manakala tiga lagi hilang selepas kapal dagang karam dibadai ombak di perairan Tanjung Sepang, Kota Tinggi, hari ini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata dalam kejadian 2 petang itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC JOHOR) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat laporan berkenaan.

Katanya, kapal dagang MV AMANDA itu terbalik lalu karam kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi.

“Berdasarkan maklumat dari kapten kapal, MV AMANDA mengalami kerosakan pada janakuasa dan menyebabkan roda (wheel) kapal tidak dapat berfungsi.

“Kapten kapal sudah membuat ‘full astern’ namun kapal tidak dapat berundur kerana ombak terlalu kuat. Selepas itu ombak menolak kapal terbabit dan bertembung dengan kapal lain menyebabkan kapal MV AMANDA terbalik dan karam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, bagaimanapun, pihaknya masih mencari tiga kru kapal iaitu dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga China yang hilang.

Katanya, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Pos Maritim Pengerang bagi menyelaras usaha mencari mangsa yang masih hilang.

“Sebanyak tiga kapal dan sebuah bot APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin sudah berada di lokasi kejadian bagi operasi SAR ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 10:23 PM