ANGGOTA APMM membuat pemantauan dan pencarian kru kapal warga Bangladesh yang dikhiatiri lemas selepas kapal MV AMANDA karam di Tanjung Sepang. FOTO  ihsan APMM
ANGGOTA APMM membuat pemantauan dan pencarian kru kapal warga Bangladesh yang dikhiatiri lemas selepas kapal MV AMANDA karam di Tanjung Sepang. FOTO ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani


PENCARIAN kru kapal warga Bangladesh yang dipercayai hilang selepas kapal MV AMANDA dinaiki terbalik dan karam di Tanjung Sepang, Kota Tinggi diperluaskan kira-kira 120 batu nautika persegi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memperluaskan operasi meliputu Timur Tanjung Penawar sehingga Tanjung Sepang.

"Pencarian turut dilakukan di sekitar pesisir Pantai Tanjung Punggai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala kawasan Tanjung Sepang hingga Tanjung Penawar oleh Tentera Darat sekiranya mangsa hanyut ke pantai.

"Pasukan penyelam dan Pasukan Salvage sudah memulakan selaman bagi mencari mangsa yang berkemungkinan terperangkap di dalam kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa kru kapal berkenaan dipercayai memakai jaket keselamatan.

Beliau berkata, SAR hari ketiga membabitkan 92 anggota dari pelbagai agensi penyelamat.

"Pencarian dilakukan menggunakan dua kapal dan dua buah bot daripada Maritim Malaysia, TLDM dan PPM," katanya.

Terdahulu, enam anak kapal lelaki warga Bangladesh dan China diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas kapal dagang yang dinaiki mereka karam dibadai ombak di perairan Tanjung Sepang, Selasa lalu.

Dalam kejadian 2 petang itu, kapal dagang MV AMANDA yang membawa kesemua mangsa berusia 23 hingga 51 tahun itu terbalik lalu karam kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, di sini, berikutan mengalami kerosakan pada janakuasa dan menyebabkan roda kapal tidak dapat berfungsi.

Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai dua mayat mangsa kapal karam di perairan Tanjung Sepang, di Kota Tinggi, malam kelmarin

Kedua-dua mangsa iaitu warga Bangladesh dan China ditemui terapung pada 7.45 malam oleh kapal peronda maritim di lokasi berhampiran kapal karam.

Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Berita berkaitan

  • Dua dah jumpa, cari lagi satu [METROTV]
  • Tiga kru hilang kapal dagang karam
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 2:58 PM