PASUKAN SAR melakukan selaman. FOTO Ihsan APMM
PASUKAN SAR melakukan selaman. FOTO Ihsan APMM
Mohd Sabran Md Sani


KERJA pemasangan ‘marker bouy’ atau boya penanda khas pada kapal MV AMANDA yang karam di perairan Tanjung Sepang, dekat Kota Tinggi, Selasa lalu, dilakukan bagi mencari seorang lagi kru kapal yang masih hilang.

Selain itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan selaman ‘salvage assessment’ bagi mengesan kemungkinan mangsa terperangkap dalam kapal berkenaan.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, dua kaedah itu bagi mengesan kemungkinan mangsa terperangkap pada dan dalam kapal MV AMANDA.

“Pencarian menggunakan kaedah itu dilakukan dengan penuh waspada memandangkan keadaan arus kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik syarikat kapal MV AMANDA dipantau dengan kerjasama pasukan selam dari Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim dan unit selam Maritim Johor.

Katanya, operasi SAR mencari mangsa kapal MV AMANDA yang masuk hari keempat hari ini diteruskan pada keluasan 120 batu nautika persegi meliputi timur Tanjung Penawar sehingga Tanjung Sepang.

“Kami meneruskan pencarian seorang lagi kru kapal berkenaan yang masih hilang itu. Ia membabitkan bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan pasukan Polis Marin.

“Pencarian turut dilakukan sekitar pesisir pantai Tanjung Punggai oleh Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sekitar Tanjung Sepang hingga Tanjung Penawar oleh Tentera Darat Malaysia sekiranya mangsa hanyut ke pantai,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan anggota terbabit SAR seramai 82 orang membabitkan pelbagai agensi.

Terdahulu, enam anak kapal lelaki warga Bangladesh dan China diselamatkan APMM selepas kapal dagang yang dinaiki mereka karam dibadai ombak di perairan Tanjung Sepang, Kota Tinggi, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, MV AMANDA yang membawa mangsa berusia 23 hingga 51 tahun itu terbalik sebelum karam kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang berikutan kerosakan pada janakuasa dan menyebabkan roda kapal tidak dapat berfungsi.

Pasukan SAR menemui dua mayat mangsa kapal karam di perairan Tanjung Sepang, malam kelmarin.

Kedua-dua mangsa iaitu warga Bangladesh dan China ditemui terapung pada jam 7.45 malam oleh kapal peronda APMM di lokasi berhampiran kapal karam.

Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Berita berkaitan

  • Dua dah jumpa, cari lagi satu [METROTV]
  • Tiga kru hilang kapal dagang karam
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 6:52 PM