AZMAN memeriksa motosikal yang disita dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2020. FOTO Rafidah Mat Ruzki
AZMAN memeriksa motosikal yang disita dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2020. FOTO Rafidah Mat Ruzki
Rafidah Mat Ruzki


DUA PULUH penunggang dan pembonceng motosikal ditahan pada Operasi Ambang Tahun Baharu 2020 Kontinjen Selangor di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Shah Alam, tengah malam tadi.

Antara yang ditahan pasangan kekasih yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu serta seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendakwa permit kerjanya yang diperbaharui masih belum diperoleh daripada ejen pekerja asing.

Sebelum itu, lelaki warga Indonesia yang mendakwa sudah bekerja di Malaysia sejak lima tahun lalu sebagai tukang cuci cuba melarikan diri daripada sekatan, namun dapat ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pada operasi itu, pihaknya mengeluarkan 148 saman membabitkan kesalahan seperti tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

“Lima belas motosikal disita kerana penunggang tidak memiliki lesen memandu selain jentera terbabit milik individu lain.

“Kami akan memanggil pemilik sebenar jentera disita untuk dikenakan tindakan selain ibu bapa penunggang bawah umur,” katanya kepada media sejurus tamat operasi.

Pada perkembangan sama, Azman berkata, 490 anggota dan pegawai trafik dikerah di seluruh negeri ini bagi melaksanakan operasi berkenaan.

“Operasi bermula jam 9 malam dan berakhir jam 5 pagi tadi. Kami memeriksa 1,116 kenderaan membabitkan 447 motosikal, 388 kereta, 89 lori, 77 van, 59 kenderaan pelbagai guna (MPV), 33 teksi, 15 bas dan empat pacuan empat roda.

“Seramai 1,178 individu diperiksa membabitkan 1,086 warga tempatan dan 98 warga asing dengan jumlah saman dikeluarkan ialah 1,017.

“Kami turut menahan dua lelaki mabuk di Ampang,” katanya.

Menurut beliau, 297 daripada saman dikeluarkan membabitkan kesalahan lesen memandu, 130 membabitkan kesalahan memandu dengan cukai jalan tamat tempoh dan 102 saman kerana tiada cermin sisi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:52 PM