ANGGOTA JPJ meminta lesen memandu daripada seorang penunggang motosikal.
ANGGOTA JPJ meminta lesen memandu daripada seorang penunggang motosikal.
HM Digital

Kuala Lumpur: Ketiadaan lesen memandu membuatkan seorang lelaki sanggup membuat pusingan U dan menunggang motosikal secara melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bangsar di sini, semalam.

Pada operasi bermula jam 8.30 malam dan berakhir jam 1 pagi, 724 notis saman dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, 2,896 kenderaan diperiksa dan 148 saman dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

“Ia juga membabitkan 181 saman kerana tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh,” katanya.

Wan Ahmad Uzir berkata, kebanyakan kereta atau motosikal yang disita pada operasi ini digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah.

Menurutnya, Op Patuh yang dijalankan sejak awal tahun ini turut diadakan di seluruh negara sempena sambutan ambang tahun baru 2018.

“Setakat semalam, 42,478 kenderaan diperiksa dengan 14,844 dikenakan tindakan dan sejumlah 21,613 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Operasi disertai 170 anggota membabitkan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, seramai 65 warga asing ditahan pihak imigresen atas pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 10:50 AM