FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau ditahan selepas memecah masuk rumah milik seorang peniaga di Padang Setengge, Kuala Berang, membabitkan kerugian RM15,000.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Berang kira-kira jam 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian pecah rumah itu hanya disedari lelaki berusia 49 tahun kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin selepas isterinya memaklumkan beg tangannya hilang.

Beliau berkata, mangsa bersama isterinya membuat pemeriksaan sebelum mendapati telefon bimbit milik anak mereka yang diletakkan di atas meja di ruang tamu turut lesap.

“Mangsa yang mengesyaki rumahnya dipecah masuk segera membuat pemeriksaan dan suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap di bahagian ruang tamu.

“Mangsa memaklumkan mengunci semua pintu dan tingkap namun suspek berjaya memecah masuk dengan mengumpil tingkap berkenaan dengan kejadian berlaku ketika empat beranak itu tidur.

“Kejadian itu menyebabkan pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai hilang dengan kerugian dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Adli berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang hari yang sama sebelum gerakan memburu suspek giat dijalankan.

Katanya, suspek yang positif methamphetamine kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 8:01 PM