Zatul Iffah Zolkiply


WANITA kerugian hampir RM60,000 selepas rumahnya di Jalan Alor Tempoyak, Dungun dipecah masuk kelmarin.

Mangsa berusia 52 tahun yang ke tingkat bawah rumahnya 7.45 pagi terkejut apabila melihat pintu hadapan rumah terbuka manakala beg yang diletakkan di ruang tamu berselerak.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang sebelum ini bercuti tiba di rumahnya 2 petang Ahad lalu dan meletakkan beberapa beg di ruang tamu.

“Mangsa masuk ke bilik di tingkat atas untuk tidur 10 malam dengan semua begnya dibiarkan di tingkat bawah.

“Sebelum masuk ke bilik mangsa turut memastikan pintu dan tingkap rumahnya berkunci.

“Kejadian itu menyebabkan pelbagai barangan berharga termasuk duit hilang dengan kerugian dianggarkan RM60,000 sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Dungun kelmarin.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:13 PM