GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


RUMAH banglo mewah milik Tan Sri Isa Samad di Nilai Spring Heights, Nilai, dipecah masuk tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan pisau, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian 4.55 pagi itu, hanya tujuh ahli keluarga bekas pengerusi FELDA terbabit berada di rumah dan dua daripadanya diikat oleh penyamun berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tiga lelaki dipercayai warga asing memakai topeng dan bersenjatakan parang serta pisau memecah masuk rumah banglo dua tingkat berkenaan.

“Ketika kejadian, terdapat tujuh penghuni termasuk empat kanak-kanak. Suspek mengarahkan dua penghuni menunjukkan tempat penyimpanan barang berharga sebelum mengikat tangan dan kaki mereka menggunakan wayar telefon di ruang tamu.

“Suspek dipercayai melarikan wang tunai berjumlah RM5,700, pelbagai barang kemas dan tiga jam tangan pelbagai jenama membabitkan kerugian berjumlah hampir RM15,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Noor Azam, kawasan perumahan itu dikawal oleh seorang pengawal keselamatan, namun ketika kejadian dia sedang tidur manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan tidak berfungsi.

Katanya, siasatan juga mendapati suspek memecah masuk melalui tingkap di bahagian belakang rumah dan melarikan diri melalui laluan sama.

Beliau berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:57 PM