Siti Sofia Md Nasir


MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepenuhnya berhubung keputusan rombakan Kabinet yang dijangka dilakukan pada tahun depan.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk menentukan siapa kekal dan digugurkan dalam Kabinet yang dibentuk tahun lalu.

“Terserah pada PM, itu hak beliau untuk rombak bila-bila masa.

“Setuju atau tidak setuju itu bukan hak saya, itu hak PM,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Konvensyen AMANAH Pulau Pinang Ke-4 di Georgetown hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi AMANAH Pulau Pinang Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mohamad (kiri) dan Mujahid
Mohamad (kiri) dan Mujahid

Rabu lalu, Dr Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Dr Mahathir dilaporkan berkata rombakan Kabinet itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Mujahid berkata, tidak timbul isu berkecil hati atau pun tidak sekiranya beliau dikatakan terbabit dalam rombakan Kabinet berkenaan.

“Benda yang belum berlaku lagi, jadi macam mana kita nak tahu? Boleh jadi kita gembira dengan rombakan Kabinet, kita pun tidak tahu.

“Macam-macam boleh jadi, (jawatan ini) bukan sebab kami yang mahu duduk tetapi kami diberi mandat atas penilaian PM. Jadi, terserah pada beliau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 1:48 PM