P Waytha Moorthy. FOTO Rasul Azli Samad
P Waytha Moorthy. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


“KITA mesti bersedia untuk segala keadaan (rombakan portfolio) dan ia terpulang kepada Perdana Menteri,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Beliau mengulas laporan media hari ini berhubung spekulasi Dr Mahathirdijangka merombak sekurang-kurangnya tiga portfolio beserta Menteri dalam Kabinet sedia ada.

Antara portfolio yang menjadi tumpuan termasuk Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang dipegang Waytha Moorthy, Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Datuk Seri Rina Harun dan juga Pendidikan yang kini dipegang Dr Maszlee Malik.

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata, sebarang isu berhubung rombakan Kabinet adalah terserah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Itu (rombakan) terpulang kepada Perdana Menteri; saya tak boleh komen. Itu budi bicara mutlak Yang Amat Berhormat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Lukisan Kanak-Kanak bertema ‘Colour of Unity’ anjuran Tech Food Ingredients Sdn Bhd dan Magpie Melaka di di Melaka, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong dan Pengarah Tech Food R Narendranath.

Kelmarin, Perdana Menteri mengesahkan tiada rombakan kabinet dalam masa terdekat seperti yang dispekulasikan beberapa pihak khususnya, media tempatan.

Sebaliknya, beliau berkata perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:23 PM