Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Ibu Pejabat BERSATU. FOTO Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Ibu Pejabat BERSATU. FOTO Eizairi Shamsudin
Idris Musa

“MUNGKIN saya seorang diktator, tetapi kali ini saya tidak menentukan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri memberi reaksi itu bagi menafikan beliau berperanan dalam pertemuan Ahli Parlimen UMNO dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya belum lagi bercakap dengan beliau (Mohamed Azmin), saya tak tahu kenapa dia ada mesyuarat, tapi itu membabitkan parti lain.

“Ini masalah PKR, merekalah patut selidik perkara ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 22 Ahli Parlimen UMNO berkumpul di kediaman rasmi Mohamed Azmin di Putrajaya pada malam Isnin lalu.

Beberapa Ahli Parlimen PKR dilaporkan hadir, termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudddin serta Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dilaporkan berkata, pertemuan itu hanya mesyuarat biasa dengan tidak ada perkara luar biasa.

Menurutnya, beliau tidak ingat siapa yang meminta mesyuarat yang menjadi kontroversi itu diadakan.

Pertemuan itu berlangsung dua hari selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 10:06 PM