MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“ELOK la dia (Mohamed Azmin Ali) pergi... tengok mesyuarat ke... mesyuarat biro politik,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata demikian sebagai mengulas pertemuan sulit diaturkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, malam tadi.

Sementara itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas mengenai perkara sama berkata, beliau tidak mendapat maklumat lanjut.

“Saya tak tau... saya baca berita yang kamu (media) laporkan saja... saya tak tahu apa cerita sebenarnya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, pagi ini.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan membawa isu pertemuan sulit oleh Mohamed Azmin itu pada mesyuarat biro politik parti malam esok.

“Pada waktu ini, parti belum terima apa-apa makluman rasmi mengenai perkara berkenaan tapi saya percaya bila biro politik mengadakan mesyuarat esok hari, kita pasti akan bincang perkara ini.

“Harapan saya agar semua pimpinan PKR boleh hadir supaya kita boleh dapatkan maklumat penuh apa sebenarnya berlaku,.

“Benar berlaku pertemuan pada malam tadi, tapi apakah manifesto yang ingin diselesaikan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, pagi ini.

Malam tadi, sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir di kediaman Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya.

Antara yang dilihat keluar kediaman berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Ismail Abd Muttalib (Maran).

Raja Petra Kamaruddin menerusi laporan di portal Malaysia Today melaporkan Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.

Berita berkaitan

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:35 PM