MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP
MUHYIDDIN. FOTO arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan akan mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, malam ini.

BH Online melaporkan pengumuman itu dijangka dibuat menerusi satu sidang media, namun butiran mengenai lokasi dan masanya belum dimuktamadkan setakat ini.

Sumber dalaman memaklumkan, Presiden Bersatu itu akan diketengahkan sebagai Perdana Menteri kelapan, bersandarkan sokongan daripada ‘Kumpulan Azmin’, Gabungan Parti Sarawak, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan gabungan Muafakat Nasional merangkumi UMNO dan PAS.

‘Kumpulan Azmin’ merujuk kepada kumpulan diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen lain daripada parti sama, antaranya bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Menerusi sokongan empat blok utama itu, sumber berkata, Bersatu akan memperoleh majoriti mudah 116 kerusi, sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

“Sekarang ini wujud percanggahan pendirian dalam Bersatu antara Dr Mahathir dan ‘kem’ Muhyiddin, justeru langkah seterusnya akan diumumkan malam ini, insya-Allah,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU itu tiba di perkarangan Yayasan Al-Bukhary di sini pada jam 9.10 pagi bagi mempengerusikan mesyuarat khas, membabitkan 25 lagi Ahli Parlimen parti berkenaan.

Ditanya nada suasana mesyuarat hampir dua jam itu, sumber memaklumkan ia berlaku dalam suasana tegang dengan menyaksikan Dr Mahathir meninggalkan pertemuan separuh jalan.

“Tun hanya masuk sekejap dan tinggalkan mesyuarat disebabkan pendirian Bersatu untuk bekerjasama dengan PAS dan UMNO,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:31 PM