Masjid Negara. Foto Arkib NSTP
Masjid Negara. Foto Arkib NSTP
Mohd Hilmie Hussin


MASJID Negara di Kuala Lumpur dipilih sebagai pusat tarikan pelancongan teratas di Malaysia oleh warga China.

Menerusi bancian yang dilakukan portal pelancongan China, Mafengwo, tiga hotel iaitu Le Apple Boutique Hotel KLCC, Traders KL dan Pasific Regency Hotel Suites dipilih sebagai hospitaliti pilihan pelancong negara terbabit.

Pengiktirafan itu disampaikan Naib Presiden Kanan Mafengwo, Yu Zhuo kepada Penolong Pegawai Penerangan Masjid Negara Ahmad Faizal Azman hari ini.

Ahmad Faizal berkata, sememangnya pelancong China paling ramai mengunjungi Masjid Negara dengan 124,000 orang melawat masjid itu sepanjang 2018.

“Hingga pertengahan tahun ini sahaja, sudah lebih 100,000 pelancong China melawat Masjid negara, diikuti pelancong Korea dan Jepun.

“Saya berpendapat mereka gemar melawat Masjid Negara mungkin disebabkan program pengisian yang kita sediakan menggunakan sukarelawan yang tahu berbahasa Mandarin.

“Mereka biasanya ingin tahu sejarah Masjid Negara dan juga sedikit pengetahuan berkaitan agama Islam,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Adfinity Media Sdn Bhd dengan mafengwo.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Adfinity Media Lim Kar Aik, manakala Mafengwo diwakili Zhuo.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Chan Hon Mun menyaksikan MoU terbabit.

Hon Mun berkata, Mafengwo adalah sebahagian daripada syarikat pelancongan am dalam talian (OTA) terbesar dan berpengaruh di China yang mempunyai ramai pengikut dan pembaca.

Menurutnya, Mafengwo mempunyai ekosistem digital yang boleh digunakan rakan kongsi di Malaysia kerana pengguna portal terbabit mencecah 1.4 bilion populasi China.

“Sebelum ini kita pernah berkerjasama dengan OTA lain di China termasuk Alibaba dan pemilihan Mafengwo sebagai rakan kongsi promosi Malaysia kepada rakyat China adalah suatu yang baik,” katanya.

Menurutnya, 149 juta rakyat China melakukan perjalanan ke luar negara sepanjang 2018, meningkat 14.7 peratus berbanding tahun sebelumnya dan membelanjakan wang sehingga AS$277 bilion (RM1.1 trilion).

Katanya, China adalah pasaran penting buat negara kerana 2.94 juta pelancong China memasuki Malaysia sepanjang 2018 yang menyumbang RM12.3 bilion kepada ekonomi negara yang turut berkembang kepada 5.3 peratus.

“Rakyat China adalah pelancong ketiga terbesar ke negara kita selepas warga Singapura dan Indonesia, malah Malaysia diletakkan dalam ranking 10 teratas destinasi yang pilihan pelancong China.

“Melalui kerjasama ini, kita berpotensi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong China daripada 2.94 juta kepada 3.48 juta sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:54 PM