Seramai 6.5 juta pelancong melawat negara ini untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, jumlah itu merosot sebanyak 8.6 peratus berbanding 7.1 juta pelancong untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kehadiran pelancong dari China contohnya merosot hingga 141,000 orang berbanding 520,466 orang pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Selain itu, jumlah ketibaan pelancong dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand juga merosot berbanding rekod tahun lalu namun kehadiran pelancong India meningkat seramai 4,297 orang.

“Antara sebab utama kemerosotan kehadiran pelancong adalah disebabkan visa pelancong yang dikenakan kerajaan.

“Selain itu, isu MH370 yang belum diselesaikan turut menjadi faktor kemerosotan kehadiran pelancong terutama dari China.

“Namun, kementerian masih mempunyai enam bulan lagi untuk menggandakan usaha bagi memastikan sasaran tahun ini iaitu seramai 29.4 juta pelancong melawat negara ini dapat dicapai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, ketika ditanya soalan tambahan daripada Normala Abdul Samad (BN- Pasir Gudang) mengenai sejauh mana keberkesanan penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan keistimewaan promosi tahun ini, Mohamed Nazri berkata, beliau yakin program yang dijalankan dapat menarik kunjungan lebih ramai pelancong luar.

Katanya, berbanding tahun sebelumnya, penganjuran TMM kali ini akan mempromosikan pelbagai festival yang ada di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 10:41 AM