Gambar hiasan
Gambar hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


DUA lelaki ditahan selepas terserempak dengan polis sejurus menyamun seorang warga asing dalam kejadian di Jalan 2/32, Seksyen 2 di Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kedua lelaki berkenaan yang menunggang dan membonceng sebuah motosikal dipercayai menyamun seorang buruh binaan yang sedang berjalan di kawasan itu.

Menurutnya, kedua suspek dikatakan melarikan telefon bimbit mangsa dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

“Suspek kemudiannya cuba memecut motosikal tetapi gagal selepas terserempak dengan anggota polis yang sedang membuat rondaan.

“Kedua suspek yang berusia 18 dan 21 tahun itu kemudiannya ditahan polis untuk pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan didapati seorang daripadanya mempunyai tiga rekod lampau berkaitan air ketum, pecah rumah dan samun.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 9:57 PM