Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEKUMPULAN lelaki yang mensasarkan pemandu kenderaan untuk melakukan samun dan ragut berakhir selepas empat ahli kumpulan itu diberkas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kumpulan berkenaan bergiat aktif menyamun dan meragut pemandu yang sedang leka ketika memasuki kenderaan.

“Dalam kejadian terbaru pada Ahad lalu, seorang sukarelawan diragut seorang lelaki di Seksyen 11.

“Susulan itu, satu pasukan ditubuhkan untuk mengesan semua suspek yang terbabit dalam kegiatan samun dan ragut,” katanya.

Ku Mashariman berkata, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Klang Lama pada Rabu lalu sebelum menahan seorang lelaki berusia 20 tahun.

“Berpandukan maklumat daripada suspek, polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki remaja yang juga jiran suspek berusia 24 tahun.

“Polis merampas sembilan telefon pintar pelbagai jenis yang disyaki sebagai barang yang diperoleh suspek ketika melakukan samun dan ragut,” katanya.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu dua lagi rumah di Batu Caves dan Taman Kinrara, Puchong sebelum menahan dua suspek berusia 29 dan 26 tahun.

“Kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai ahli kumpulan berkenaan yang disyaki aktif melakukan samun dan ragut.

“Semua suspek direman sehingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 4:45 PM