SULIZMIE menunjukkan lakaran wajah Ali
SULIZMIE menunjukkan lakaran wajah Ali
Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS giat memburu seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Ali yang disyaki terbabit dalam beberapa kes samun di daerah Seremban.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek berusia 30-an itu dipercayai melakukan jenayah bersama seorang lagi rakan senegaranya.

Menurutnya, kegiatan mereka terbongkar susulan penahanan rakannya berusia 29 tahun itu, di Taman Rasa Sayang, Senawang, Seremban, kira-kira jam 6 pagi, pada 6 Ogos lalu.

"Sebelum itu, kedua-dua suspek menyamun sebuah rumah dan ketika cuba melarikan diri mereka terserempak dengan penduduk yang melakukan rondaan.

"Penduduk berjaya menahan seorang suspek manakala Ali melarikan diri. Pemeriksaan polis yang ke lokasi menemui jam tangan, telefon bimbit dan cincin yang dicuri dianggarkan bernilai RM2,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Katanya, soal siasat mendapati suspek terbabit lebih 10 kes samun membabitkan kerugian lebih RM50,000.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Ali supaya menghubungi IPD Seremban di talian 06-6014999.

Dalam perkembangan lain, Sulizmie berkata, polis berjaya menumpaskan seorang penjenayah yang melakukan samun dalam tempoh kurang tujuh jam, pada 10 Ogos lalu.

Katanya, polis menerima laporan kejadian samun di Bandar Seremban Selatan, jam 10 pagi sebelum gerakan memburu suspek dilakukan dan berjaya menahannya di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya, kira-kira jam 5 petang.

"Pemeriksaan dalam rumah dihuni lelaki berusia 36 tahun itu menemui peralatan pecah rumah dan pelbagai barangan berharga dipercayai milik mangsa yang disamun," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:41 PM