DAIM menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada tetamu yang hadir selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh Perdana di Pantai Geting. FOTO Fathil Asri
DAIM menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada tetamu yang hadir selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh Perdana di Pantai Geting. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail


PELBAGAI inisiatif sudah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat di negara ini sejak Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5).

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata, berbanding sebelum ini, rakyat dilihat lebih selesa dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk kepada mereka.

“Kerajaan berusaha mengurangkan inflasi supaya rakyat dapat menggunakan wang dengan lebih baik.

“Sama ada suka ataupun tak suka, kalau dibandingkan dengan dulu sampai sekarang, rakyat lebih selesa daripada dulu. Dulu mana ada jalan dan titi (jambatan) macam sekarang.

“Dulu kita naik basikal sekarang semua naik kereta, takkan tak ada kemajuan? Mesti ada kemajuan,” katanya selepas merasmikan Karnival Koperasi dan Bekwoh Rakyat anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pantai Geting di Tumpat, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa; dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Daim berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang dibuat oleh pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kadar kemiskinan di negara ini.

Pelapor Khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston dilaporkan berkata bahawa angka rasmi kemiskinan di negara ini tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Alston dipetik sebagai berkata bahawa angka rasmi bergantung pada langkah-langkah lapuk dengan garis kemiskinan kekal di tahap yang sama selama beberapa dekad walaupun kos kehidupan yang semakin tinggi.

Ditanya mengenai khabar angin mengenai pertukaran portfolio beberapa menteri dalam masa terdekat, Daim berkata, perkara berkenaan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:29 PM